TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA


Image result for bussiness     Menurut data pada tahun 2015, terdapat kirakira 760 sistem francais yang terdiri daripada pelbagai sektor telah didaftarkan dengan Pejabat Pendaftar Francais KPDNKK. Selain itu, daripada jumlah 760 sistem francais itu, sejumlah 7,525 perniagaan francaisi telah berjaya diwujudkan (Dato’ Sri Hasan Malik, 2015). Ini menunjukkan bahawa industri francais di Malaysia sedang berkembang dengan jayanya sejajar dengan 4 teras yang telah dilancarkan di dalam PIPFN. Selain itu, industri francais Malaysia juga turut melebarkan sayapnya ke luar negara dan sehingga 2012, terdapat 46 buah outlet yang telah menempah nama di 50 buah negara asing.

Image result for bussinessMengikut sumber Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK sehingga Disember 2013, sejumlah 689 perniagaan francais telah didaftarkan di Malaysia dengan 491 produk tempatan. Sektor makanan masih mendahului iaitu sebanyak 35 peratus diikuti Pusat pembelajaran kanak-kanak (12 peratus) dan pakaian dan aksesori (11 peratus). Sejumlah 55 produk francais Malaysia telah berjaya menembusi pasaran di 52 negara dengan 1,962 outlet merangkumi Indonesia, Singapura, China, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu.

Menurut Datuk Hajah Rohani (2012) dalam pembentangan laporannya di Dewan Rakyat, perniagaan francais Nelson’s telah mendahului perniagaan lain dengan 675 outlet dan diikuti Daily Fresh sebanyak 481 outlet, Secret Recipe, England Optical, Old Town White Coffee, World of Feng Shui, Smart Reader, Royal Selangor, Ideal Malaysian Support dan Marrybrown yang begitu menyerlah sekali di negara- negara luar dan kebanyakannya adalah di Arab Saudi, UAE, Turki, China, Indonesia, Afrika Selatan, Singapura, Bahrain, Filipina dan juga di Oman.

Secara amnya, perniagaan francais secara langsung mampu memberi sumbangan yang positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Pada ketika ekonomi negara berada pada landasan yang kukuh, permintaan domestik telah memainkan peranan penting di dalam pertumbuhan ekonomi.  Perkembangan positif ini memberi petanda baik bukan sahaja kepada masa depan pertumbuhan ekonomi negara, bahkan ke arah mewujudkan kehidupan yang lebih selesa dengan menggalakkan keusahawanan terutamanya usahawan kecil dan sederhana, mendekatkan jurang perbezaan ekonomi serta mengurangkan pengangguran.

Perniagaan francais adalah sesuai untuk semua lapisan masyarakat, samaada penduduk di kawasan bandar atau luar bandar. Di negara-negara membangun seperti Uganda, Kenya dan Kemboja, francais Mikro telah digunakan sebagai model alternatif yang berkesan untuk menangani isu kemiskinan. Francais Mikro memainkan peranan penting untuk membasmi kemiskinan terutamanya di kawasan luar bandar dengan mewujudkan pakej atau program kepada usahawan-usahawan kecil seperti gerai-gerai buah-buahan, gunting rambut, kedai runcit, dan kedai-kedai makanan seperti cendol dan gerai rojak boleh dimodenkan menjadi model perniagaan francais.

Berdasarkan kepada laporan yang dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Francais KPDNKK, ia menunjukkan peningkatan dalam industri francais dari tahun ke tahun. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan tahap pembangunan industri francais di Malaysia adalah dalam keadaan baik dan membangun dengan jayanya sejajar dengan matlamat PIPFN (2012-2016) yang telah memasuki fasa kedua pada tahun ini.


Selain itu, maklum balas yang diterima daripada masyarakat Malaysia dan antarabangsa menunjukkan industri francais di negara ini semakin matang dan berkembang sejajar dengan pembangunan negara. Didapati juga masyarakat kini semakin celik mengenai perniagaan francais disebabkan program dan pendedahan yang dijalankan oleh kementerian. Terdapat satu program yang dikenali sebagai Francais Komuniti iaitu program melibatkan kementerian, PNS dan MFA berkongsi maklumat mengenai perniagaan francais kepada masyarakat luar bandar. Program tersebut turut mempamerkan perniagaan-perniagaan yang sedia ada di samping memperkenalkan jenama francais tempatan yang terdapat dalam pasaran. MFA turut menganjurkan pameran francais terbesar di ASEAN pada setiap tahun yang dikenali sebagai Francais Antarabangsa Malaysia. Pameran tersebut merupakan platform terbaik khususnya kepada masyarakat bagi mengenal pasti lebih lanjut perniagaan-perniagaan francais yang berpotensi tinggi (Harian Kosmo, 5 Mac 2015).

No comments:

Post a Comment