Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional
2012-2016 (PIPFN), telah dilancarkan bagi menetapkan hala tuju strategik membangunkan industri francais
ini supaya ia berdaya saing serta mampu memanfaatkan penggiat industri francais
negara. Selain daripada itu, dijangka nilai KDNK Malaysia akan meningkat
sehingga sekali ganda kepada 4.3 peratus menjelang 2016 berbeza daripada 2.2
peratus pada tahun 2012. Kenaikan ini dijangka daripada sumbangan industri
francais. Selain daripada itu industri francais di Malaysia mempunyai potensi
yang tinggi dan berperanan penting dalam menjana ekonomi negara, pada
pengumuman Bajet 2015, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan untuk
memperuntukkan sehingga RM20 juta kepada industri francais Malaysia khususnya
untuk mempergiatkan eksport syarikat francais Malaysia ke luar negara (Dato’
Sri Hasan Malik, 2015).
Di samping itu, perniagaan secara
francais juga dilihat mampu berkembang dengan pantas melalui rangkaian yang
besar dalam tempoh masa yang singkat. Antara lain, industri ini juga mampu
merancakkan lagi aktiviti ekonomi negara, terutamanya di dalam bidang
peruncitan dan perkhidmatan. Melihat dari aspek pembangunan usahawan, sistem
francais mampu melatih usahawan baru yang tidak mempunyai banyak pengalaman
untuk menceburi bidang perniagaan secara terus. Pelbagai usaha telah
dipergiatkan oleh kerajaan terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) seperti mengadakan program perintis francais
dan juga bekerjasama dengan Persatuan Francais Malaysia (MFA) dalam memberikan
khidmat runding dan juga latihan.
Melalui industri ini, selain ianya
memberi peluang kepada usahawan muda untuk memulakan perniagaan, ianya juga
membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat lain, yang mana setiap pembukaan 1
francais akan memerlukan 6 peluang pekerjaan (PIPFN, 2012). Oleh itu, ianya
dapat membantu mengurangkan masalah pengangguran dalam negara.
No comments:
Post a Comment