SISTEM SOKONGAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA


Dalam mempertingkatkan industri francais di negara ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak bagi memantapkan industri francais di Malaysia. Antaranya ialah meningkatkan daya saing, melakukan transformasi dalam menjalankan perniagaan, di samping pembangunan modal insan serta koordinasi di antara agensi di bawah KPDNKK seperti PNS dengan Bahagian Pembangunan Francais bersama-sama dengan Persatuan Francais Malaysia (MFA). Terdapat pelbagai jenis sokongan yang telah diberikan kepada usahawan-usahawan francais bagi membantu mereka memulakan perniagaan dan di samping itu, menggalakkan perkembangan industri francais di Malaysia.  Antaranya adalah sseperti:

i.              Penubuhan Persatuan Francais Malaysia (MFA)

Malaysia Franchise Association (MFA) telah di berikan kelulusan dan kebenaran untuk operasi sementara mulai 18 Januari 1994. Seterusnya pelancaran rasmi penubuhan MFA telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir  Mohamad pada 27 Januari 1994 serentak dengan pelancaran Program Pembangunan Francais (PPF) dan Persidangan dan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia yang pertama anjuran bersama Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (Jabatan Perdana Menteri), MFA dan International Franchise Association (IFA). Sementara kelulusan rasmi MFA di bawah Akta Pertubuhan 1966 telah diperoleh pada 30 Ogos 1994 (Laporan Mesyuarat Tahunan MFA, 2013).

Menurut laporan tahunan MFA (2013), MFA memainkan peranan :

a)    Menyatukan tenaga ahli-ahli untuk menjaga kepentingan mereka.
b)    Memupuk dan mempertahankan imej perniagaan francais dengan menggalakkan amalan perniagaan secara beretika.
c)    Mendokong usaha kerajaan untuk menggalakkan penyertaan bumiputera secara langsung dan aktif dalam perniagaan francais.
d)    Untuk menyelaras kemudahan dan infrastruktur yang tersedia bagi pembangunan francais di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

Oleh yang demikian, dengan adanya penubuhan MFA ini, usahawan-usahawan industri francais dapat bersatu dan membantu antara satu sama lain bagi memajukan lagi industri ini di persada antarabangsa dengan penambahan francais Malaysia di negara luar.
                                                             
Image result for bussiness

ii.            Penubuhan PNS Academy dan Maktab Koperasi Malaysia

Modal insan adalah merupakan aset yang paling penting dalam mencapai matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai hub industri francais di Asia Tenggara dan Timur Tengah menjelang tahun 2020 selaras dengan matlamat akhir Pelan Induk Pembangunan Francais Negara (PIPFN,2012-2016). Dalam hal ini, agensi di bawah KPDNKK bergabung tenaga untuk memastikan latihan modal insan di pelbagai peringkat dalam industri francais dipergiatkan dan semestinya kerjasama seperti ini perlu sentiasa dipertingkatkan.

Oleh yang demikian pada 1 Julai 2009 Akademi PNS telah dilancarkan. Akademi ini bergerak bersama-sama Maktab Koperasi Malaysia yang mana berperanan untuk melatih usahawan-usahawan francais serta menyediakan dan mengendalikan program-program latihan kepada usahawan francais yang sedia ada dan yang baharu. Selain itu, akademi ini berperanan untuk mengendalikan program latihan modal insan kepada warga kerja kementerian dan agensi-agensi di bawahnya di samping mengendalikan program kesedaran keusahawanan berteraskan francais kepada pelajar IPTA dan IPTS. Akademi ini juga telah mengadakan kerjasama strategik bersama IPTA dan IPTS tempatan dan luar negara bagi meningkatkan penyampaian latihan francais serta mengadakan usaha sama strategik bersama dan badan korporat tempatan dan luar negara untuk meningkatkan ilmu keusahawanan francaisor dan francaisi tempatan (Buletin PNS, 2014).
Image result for bussiness


iii.           Akta  Francais 1998 @ 2002

Akta Francais 1998 mendapat persetujuan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 24 Disember 1998 dan dikuatkuasakan pada 8 Oktober 1999. Akta ini digubal untuk mengadakan sistem pendaftaran yang sistematik, mengawal selia perniagaan francais dan perkara yang berkaitan dengannya agar pembangunan perniagaan francais di negara ini dapat berkembang dalam persekitaran yang sihat dan teratur (Nurli, 2012).

iv.           Program Transformasi Perniagaan (B.I.T)

Kementerian melalui PNS juga telah melaksanakan program Transformasi Perniagaan (B.I.T). Melalui program B.I.T ini, PNS akan mengenalpasti dan membantu usahawan PKS ini memodenkan perniagaan mereka. Program-program di bawah B.I.T ini digarap meliputi usaha menaiktaraf Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dari segi imej, kualiti perkhidmatan dan konsep perniagaan.

Menurut Dato’ Sri Hasan Malek (2015), dalam ucapan beliau, program ini merupakan program yang memfokuskan kepada usahawan PKS bagi membentuk mereka agar menjadi lebih kompetitif dan sistematik dalam menjalankan perniagaan serta membimbing mereka supaya mampu berdaya saing di pasaran dan seterusnya perniagaan tersebut dapat dibangunkan ke arah perniagaan francais. Hasilnya kelak, gerai berbentuk tradisional di tepi-tepi jalan akan ditransformasikan kepada bentuk gerai yang lebih moden sekaligus menjadikan perniagaan tersebut berkembang menjadi pra-francaisor. Sekaligus, usahawan akan menjana lebih keuntungan dan mengembangkan perniagaan mereka secara lebih efektif. Di dalam progarm B.I.T ini juga, para usahawan kecil-kecilan yang mempunyai produk dan perkhidmatan yang mampu dikomersilkan akan diberikan bantuan dan dibimbing sehingga mampu menjadi francaisor dalam tempoh masa tertentu.
Image result for bussiness


v.            Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional 2012-2016 (PIPFN)

Pelan ini telah dilaksanakan bermula pada tahun 2012. Ianya dilancarkan bagi meluaskan tumpuan dalam pembangunan francais daripada sektor campuran yang lebih pelbagai, termasuk beberapa sektor niche yang masih belum dieksploitasi sepenuhnya secara sistem francais, seperti pelancongan, perubatan, eco-tourism, perkhidmatan dan produk pematuhan syariah serta produk dan perkhidmatan hijau. Sasaran ini bertepatan dengan agenda pembangunan negara seperti yang telah digariskan melalui Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Wawasan 2020 (PIPFN, 2012).

Menurut modul PIPFN (2012), pelan ini mempunyai 3 fasa iaitu:

a)    Fasa 1 bermula dari 2012 hingga 2014 (3 tahun)  -  yang mana akan melibatkan pemantapan peserta francais dan rangka kerja pembangunan francais.
b)    Fasa 2 bermula dari 2015 hingga 2016 (2 tahun) – ianya melibatkan usaha ke arah industri dalam negeri yang dinamik dan teguh, selaras dengan visi PIPFN
c)     Fasa 3 bermula dari 2017 hingga 2020 – akan melibatkan usaha menjadikan Malaysia sebagai Pusat Francais.

vi.           Bantuan kewangan


Terdapat beberapa badan kewangan yang tampil bagi menyokong usaha KPDNKK seperti Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan TEKUN Nasional bagi memberikan pinjaman modal permulaaan sehingga 70 peratus kepada usahawan baru yang ingin memulakan perniagaan francais. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan, KPDNKK (2015), terdapat 534 syarikat francais tempatan dan 234 syarikat francais asing yang telah didaftarkan sehingga bulan Mac 2015. Industri francais dilihat juga mempunyai potensi yang besar dan tahap kesedaran rakyat Malaysia tentang peluang perniagaan. Ini menunjukkan reaksi yang positif kerana setiap tahun, jumlah penglibatan usahawan baru semakin bertambah. Perniagaan francais sering dilabel sebagai perniagaan kecil dan sederhana di mana ianya dilihat mampu mencipta peluang pekerjaan dan juga kurang berisiko. 


Image result for bussiness

No comments:

Post a Comment