CABARAN DAN HALANGAN DALAM INDUSTRI FRANCAIS


Walaupun industri francais telah lama menapak di Malaysia, namun industri ini masih dalam proses pembangunan. Oleh yang demikian, ia tidak dapat lari daripada menghadapi cabaran dan halangan yang datang bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat francais dunia menjelang tahun 2020. Namun, setiap cabaran dan halangan yang datang, pastinya disebabkan oleh kelemahan sesuatu industri itu. Antara kelemahannya adaah:

i.               Kelemahan Perniagaan Francais Kepada Francaisor

Francaisor adalah bertanggungjawab ke atas kewujudan, perkembangan dan daya saing perniagaan francaisi. Francaisor perlu memberikan bantuan kewangan dan khidmat sokongan kepada pihak francaisi bukan sekadar di peringkat awal tempoh francaisi memulakan perniagaan, bahkan untuk seumur hidup perniagaan francais itu dikendalikan oleh francaisi. Apabila francaisi gagal untuk mematuhi segala prosedur perniagaan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh francaisor seperti garis panduan mengenai mutu produk, tentu sekali nilai nama atau reputasi francaisor akan terjejas.

Pihak francaisor pula mungkin akan menghadapi kesukaran untuk menangani masalah penipuan seperti bayaran royalti, bayaran caj perkhidmatan, peniruan dan kebocoran formula produk dan sebagainya apabila cawangan francais pihak francaisor bertambah dan berkembang pesat. Kegagalan francaisor menangani masalah sedemikian boleh mengakibatkan kemusnahan ikatan pemfrancaisan.

ii.              Kelemahan Perniagaan Francais Kepada Francaisi

Penglibatan serta penerusan pihak francaisi dalam perniagaan francais adalah tertakluk kepada peraturan dan sistem pengoperasian perniagaan yang telah ditetapkan oleh pihak francaisor. Ini secara tidak langsung akan menyekat tahap daya kreativiti dan innovasi francaisi terutamanya dalam aspek pengendalian perniagaannya. Tambahan pula, pelaburan modal permulaan perniagaan francais yang besar menjadikan bentuk perniagaan ini lebih eksklusif dan sukar untuk bakal usahawan menceburi dan memasuki pasaran seperti ini.

Francaisi juga mudah dikhianati oleh pihak francaisor yang tidak jujur dan tamak. Misalnya, pada peringkat permulaan, pihak francaisor memberi kebenaran dan hak pengoperasian perniagaan francais kepada francaisi terutamanya pengoperasian perniagaan itu berjalan di kawasan yang kurang membangun. Apabila perniagaan francais berkenaan di kawasan itu meningkat maju dan terkenal, pihak francaisor mengambil balik hak berniaga dan beroperasi sendiri. Tindakan pihak francaisor sedemikian tentu sekali merugikan francaisi yang telah bertungkus lumus untuk membangunkan perniagaannya.


iii.            Perselisihan faham atau pendapat antara francaisor dengan francaisi

Sesetengah francaisor di Malaysia menganggap perniagaan francais yang berakhir atau ditutup kebanyakannya berpunca daripada masalah dengan francaisi, seperti:

a)     Francaisi kurang komitmen dan kurang melibatkan diri dalam perniagaan
b) Francaisi tidak mematuhi pengendalian dan standard perniagaan yang ditetapkan oleh francaisor
c)      Sesetengah francaisi menjual produk yang tidak dibenarkan
d)     Francaisi berulang kali gagal mematuhi perjanjian francais.

Perkara sebaliknya berlaku kepada sesetengah francaisi yang mana menganggap kegagalan perniagaan francais mereka berpunca terutamanya kerana :

a)   Francaisor tempatan tidak memainkan peranannya untuk menyokong francaisi.
b)    Tiada sistem infrastruktur sokongan francais yang kukuh dan terbukti berkesan (contohnya, tiada sistem sokongan pusat, tiada lawatan tetap oleh eksekutif francais untuk menyokong francaisi)
c) Tiada jenama francais yang kukuh (contohnya, francaisor tertentu tiada komitmen untuk melabur dalam perbelanjaan pengiklanan dan promosi)

iv.            Wujudnya jurang antara francaisor dan francaisi

Rentetan daripada ketiadaan persefahaman antara francaisor dan Francaisi, ianya meninggalkan kesan yang buruk terhadap industri francais. Oleh yang demikian, suatu jurang antara francaisor dan francaisi telah wujud dan ianya menyebabkan terdapat perbezaan dalam pengambilan dan jualan francais dengan francaisor.


Oleh yang demikian, kurangnya persefahaman dan kepercayaan antara francaisor dengan francaisi menyebabkan berlaku pertikaian antara kedua-dua pihak, lalu menjejaskan pertumbuhan perniagaan francais masing-masing. Justeru itu, perselisihan ini telah memberikan cabaran dan halangan yang besar dalam mencapai matlamat Malaysia menjadi Pusat Francais menjelang tahun 2020.

Image result for bussiness

No comments:

Post a Comment