Tuesday, 15 March 2016

PENGENALAN INDUSTRI FRANCAIS

Saya melihat perkembangan yang positif dalam industri francais di Malaysia dan saya ingin sekali melihat sistem francais melahirkan lebih ramai usahawan golongan menengah
 (Tun Dr Mahathir Mohamad , 2008).

Dalam era ekonomi negara sekarang, ramai usahawan berminat untuk menceburi industri francais. Ianya mendapat tempat dihati para usahawan muda mahupun peniaga-peniaga kecil yang baru berkecimpung dalam bidang perniagaan ini.

Secara am, pada dasarnya perkataan francais berasal daripada perkataan Perancis yang bermakna ‘kebebasan’ atau ‘pengecualian dari cukai’, (Nek Kamal dan etc, 2007, M. Nurul Hadi, 2015). Akan tetapi walaupun istilah francais diambil dari bahasa Perancis, namun negara yang mempopularkan sistem ini adalah Amerika Syarikat. Sejarah perkembangan francais di dunia menjadi bukti bahawa bentuk francais yang sedia ada pada saat ini merupakan pengembangan daripada sistem francais yang telah diterokai sejak tahun 1850-an dan mula berkembang tahun pada 1950-an serta 1960- an di Amerika Syarikat. Latar belakang dan matlamat daripada sistem ini adalah supaya barangan yang dikeluarkan oleh satu kawasan dapat diedar dan dijual ke seluruh bahagian lainnya ( Juajir, 1995, M.Nurul Hadi, 2015).

 Bentuk francais pertama yang paling sederhana adalah format perniagaan yang dipelopori pada sekitar tahun 1850-an oleh Singer Sewing Machine Company. Isaac Singer sebagai pembuat mesin jahit memperkenalkan sistem francais untuk mengembangkan dan meningkatkan pengeluaran mesin jahitnya (Katherine, 1998, M. Nurul Hadi, 2015). Walaupun usaha yang dilakukannya tidaklah berjaya, akan tetapi ia menjadi orang pertama yang mengenalkan kepada dunia perniagaan tentang format perniagaan francais ini di Amerika Syarikat.

Namun terdapat pendapat lain yang menyatakan sejarah francais bermula di Zaman Pertengahan yang mana pemimpin-pemimpin feudal akan memberikan hak-hak tertentu kepada pihak lain dalam menjalankan beberapa aktiviti seperti pengangkutan feri, manakala perkembangan francais moden dikesan pada tahun 1845 di Jerman iaitu melalui perjanjian antara pembuat bir dengan pemilik tavern untuk hak pengedaran eksklusif jenama-jenama tertentu (Miranda (1995), Mohd Hizam dan Zafir, 2008).  Walau bagaimanapun, Industri francais mula menapak dan berkembang di Malaysia pada sekitar tahun 1940an hingga kini dan mempunyai kirakira 760 sistem francais yang terdiri daripada pelbagai sektor telah didaftarkan dengan Pejabat Pendaftar Francais KPDNKK. Menurut ucapan dari YB Dato’ Sri Hasan Bin Malik (2015) di Program Francais Komuniti Port Dickson, daripada jumlah 760 sistem francais itu, sejumlah 7,525 perniagaan francaisi telah berjaya diwujudkan. Selain itu, kerajaan juga kini giat menggalakkan perniagaan francais mikro bagi menarik orang ramai terutama di kawasan bandar kecil dan luar bandar membabitkan diri dalam perniagaan francais.

Menurut Nurli (2012), francais ialah perkhidmatan yang dimiliki oleh francaisor mengikut amalan dan piawai yang ditetapkan oleh kedua-dua pihak. Usahawan yang memilih untuk melibatkan diri dengan perniagaan francais boleh mengurangkan risiko dalam perniagaan jika dibandingkan dengan memulakan perniagaan sendiri. Perniagaan francais, pada kebiasaannya, sudah terbukti kejayaannya melalui rekod perniagaan francaisor. Oleh yang demikian, francaisi dikehendaki membayar yuran francais dan yuran lain termasuklah royalti kepada francaisor kerana francaisi akan menduplikasi keseluruhan sistem francais yang dipunyai oleh francaisor.


Terdapat pelbagai bidang yang diceburi dalam industri francais ini, antara yang paling digemari oleh usahawan adalah industri makanan dan minuman (F&B), peruncitan, perkhidmatan, pendidikan, konsultasi, produk kecantikan dan kesihatan, pelancongan, perhiasan dan banyak lagi. Industri makanan dan minuman menjadi pilihan utama kerana ianya merupakan suatu keperluan asas dalam kehidupan dan sudah pasti industri ini tidak akan mengecewakan peniaganya kerana ia akan di cari oleh setiap orang.


Image result for lambang old town white coffeeImage result for lambang ani sup utaraImage result for lambang Q deesImage result for lambang Marrybrown